top of page
Sejarah Sekolah

Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1967 dengan nama Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Kampung Kerinchi.  Pada tahun 1973, sekolah ini diubah nama kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pantai. Nama ini telah diberikan oleh En. Mokhtar b. Zakaria ( Guru besar ) dengan persetujuan guru-guru pada masa itu.   Sekolah ini  merupakan  sekolah  Bantuan  Penuh  Kerajaan.   Guru Besar  yang  pertama  ialah En. Michael Peter.

 

Sekolah ini terletak di sekitar kawasan Lembah Pantai ,Pantai Dalam dan Pantai Baru .Sejak ditubuhkan sekolah ini dikelilingi oleh penempatan setinggan sehinggalah dipindahkan ke rumah pangsa yang didirikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sebilangan besar murid sekolah ini berlatarbelakangkan daripada keluarga yang sederhana dan berpendapatan rendah.

 

Pada peringkat awal penubuhannya,  sekolah ini hanya menempatkan murid lelaki dan perempuan daripada pelbagai kaum di sekitar Kampung Kerinchi. Pada tahun 1972, dengan penambahan murid , sekolah ini telah memulakan sesi petang tetapi telah diubah kepada satu sesi pada tahun 1997 sehingga sekarang . Kumpulan pertama pelajar yang mengambil peperiksaan MCE ialah pada tahun 1972.  SMK Sri Pantai juga pernah membuka Kelas Tingkatan Enam yang bermula pada tahun 1989. Namun begitu , atas dasar untuk menaikkan taraf dan memberi penjanamaan semula, kelas tingkatan enam ini telah dipindahkan ke sekolah pusat tingkatan 6 di SMK Vivekananda ,Bricksfields ,Kuala Lumpur, bermula pada akhir tahun 2016. Kini, sekolah ini mempunyai seramai 1013 orang murid yang belajar dari tingkatan 1 hingga 5. Seramai 76 orang guru telah ditempatkan untuk berkhidmat di sekolah ini dengan dibantu oleh 9 orang  Anggota Kumpulan Pelaksana.

 

Dari aspek prasarana, awalnya sekolah ini hanya mempunyai tiga blok bangunan yang menempatkan 16 buah bilik darjah. Pada tahun 1982, terdapat pertambahan dua blok bangunan yang menempatkan perpustakaan, makmal sains dan bengkel.  Pada tahun 1984, bilik sumber, klinik gigi, kedai buku dan bilik serbaguna ditempatkan di blok B.  Kini, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Pantai mempunyai enam blok dan kesemua blok ini digunakan untuk tujuan pembelajaran . Selain bilik darjah,  terdapat juga bilik-bilik khas seperti Pusat Sumber, Balai  Penjana Ilmu, Bilik AVA, Bilik AVA Tingkatan Enam,Bilik Peperiksaan, Galeri Sejarah, Bilik MACA, Bilik ERT, Bilik Jahitan, Bilik Wawasan, Bilik Rekod, Bilik Perabot, Bilik Guru Kanan, Bengkel Kemahiran Hidup, Makmal Sains, Makmal Komputer, Bilik SPBT dan lain-lain lagi.

 

Sejak ditubuhkan, sekolah ini telah diterajui oleh 14 orang pengetua. Antaranya, Dato’ Hj Baharom Bin Kamari, mantan Pengetua SMK Sri Pantai dari tahun 1992 – 1995 yang pernah dinobatkan sebagai Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan pada tahun 2008. Terkini, kepimpinan SMK Sri Pantai diterajui oleh Datin Hajah Foziah binti Datuk Haji Ahmad. Visi sekolah “SMK Sri Pantai Cemerlang Akademik, Sahsiah dan Kokurikulum 2015” telah ditukar kepada visi baru iaitu “Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera” selaras dengan transformasi pendidikan untuk menghasilkan modal insan yang cemerlang dan berkualiti. Walau bagaimanapun, mulai tahun 2013 sekolah-sekolah telah diarah untuk menyelaraskan visi dan misi sama seperti yang terdapat dalam Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu ‘Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera’.

 

SMK Sri Pantai telah mencipta sejarah dengan Pelancaran Perasmian Galeri Sejarah pada 18 April 2011 yang disempurnakan oleh Dato’ Ibrahim Bin Ismail, Ketua Pengarah Muzium Negara Malaysia dan dihadiri oleh Bapak Bupati Kerinchi Indonesia serta rombongan kebudayaan Kerinchi. Sejak penubuhannya, Galeri Sejarah sekolah telah dikunjungi oleh banyak pihak dari dalam dan dari luar negara serta telah dijadikan penanda aras bagi Persatuan Sejarah Sekolah Malaysia Peringkat WPKL.

 

SMK Sri Pantai turut berjaya melakar pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang. Antaranya  telah menerima Sijil Penghargaan atas Pencapaian Lonjakan Saujana PMR ‘Bahasa Arab’ 2012 sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan  PMR 2012 peringkat Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur . Sijil Penghargaan juga dianugerahkan kerana pencapaian cemerlang tempat ke-3 Lonjakan Saujana (Peningkatan GPS : 0.23) peringkat Wilayah Bangsar dan Pudu dan Sijil Penghargaan kerana pencapaian cemerlang Peningkatan dalam semua 3 Kategori (Cemerlang Semua A, Lulus dan Gred Purata Sekolah) dalam PMR tahun 2012. Pada 2014 pula SMK Sri Pantai juga telah menerima Anugerah Peningkatan GPS tempat ke-7 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sempena Majlis Anugerah Cemerlang Peringkat Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur  dan Anugerah Top Ten (tempat keempat), Hari Koperasi Sekolah peringkat JPWP 2016.

 

Ekoran tuntutan kepesatan pembangunan di sekitar kawasan sekolah, SMK Sri Pantai akan akan berpindah ke bangunan baharu yang terletak bersebelahan dengan tapak lama. Semoga setelah mendapat bangunan dan prasarana yang serba canggih dapat menyuntik semangat baharu kepada semua warga sekolah untuk terus mencipta kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

bottom of page